ASSALAMUALAIKUM SAHABAT...

"Salam perkenalan dari ana...
Gadis kampung yang sederhana...
Sekadar ingin berkongsi cerita...
Menghibur hati merawat duka..."


I made this widget at MyFlashFetish.com.


Thursday, January 27, 2011

BAJU BARU...

Sewaktu berusia 4 tahun, ayah membawa ma dan kami adik-beradik ke sebuah perkampungan orang asli yang terletak berhampiran dengan Gua Musang. Kawasan itu agak terpencil dan terletak agak jauh di dalam hutan. Perjalanan yang jauh dan keadaan jalan yang buruk membuatkan aku tidak selesa di sepanjang perjalanan. Seperti biasa, aku akan berada di atas riba ibuku dan kakak serta abangku pula berada di belakang. Oh ya, waktu itu kami pergi dengan menaiki sebuah lori yang mungkin disewa oleh ayah. Tapi seingatku,yang memandu di sebelahku waktu itu bukanlah ayah, tetapi orang lain. Barangkali kawan ayah,bisik hati kecilku.


Keadaan jalan yang dipenuhi batu-batuan kerap membuatku seolah dilambung-lambung. Pak cik yang sedang memandu kerap kali mengusikku,mungkin sekadar untuk mengambil hatiku agar tidak bosan atau merengek. Sesampainya di sana, aku terus melompat turun. Teruja dengan persekitaran yang agak baru bagi kami, aku,kakak dan abang meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Hanya terdapat sebuah rumah kecil sahaja di situ, seakan-akan sebuah pondok namun separuh daripadanya dijadikan sebagai kedai runcit. Barangnya tidaklah banyak seperti yang terdapat di kedai-kedai runcit yang lain, namun mungkin cukup untuk menampung keperluan hidup orang asli yang mengalami kesukaran untuk keluar ke bandar.


Apabila tiba waktu maghrib, ma menyuruh kami bertiga mandi kerana hari sudah hampir malam. Kakak dan abang kelihatan berlumba-lumba menanggalkan pakaian masing-masing dan bergegas untuk mandi. Cuma tinggal aku yang serba salah. Sebenarnya hari itu aku memakai baju baru. Baju merah berbunga-bunga yang ma beli dari seorang penjaja. Aku sayang untuk menanggalkan baju tersebut dan meminta untuk tidak mandi malam itu.Maklumlah,waktu itu aku jarang akan mendapat baju baru memandangkan kehidupan kami pada masa itu yang serba kekurangan. Kemudian aku melihat ma yang sedang melipat kain dan ayah yang sedang menggulung rokok daunnya itu ketawa terbahak-bahak. Dengan perasaan hairan,aku mengangkat kening. Rupa-rupanya ayah dan ma dapat mengagak sebab aku tidak mahu mandi pada malam itu. Dengan tawa yang masih bersisa, ma menyuruh aku mandi dan kembali memakai baju yang sama. Aku kembali tersenyum dan segera berlari ke arah kakak dan abangku yang sedang riuh-rendah bermain air di telaga.

No comments:

Post a Comment