ASSALAMUALAIKUM SAHABAT...

"Salam perkenalan dari ana...
Gadis kampung yang sederhana...
Sekadar ingin berkongsi cerita...
Menghibur hati merawat duka..."


I made this widget at MyFlashFetish.com.


Tuesday, March 1, 2011

LA TAHZAN..

Sungguh senja ini diriku diulit kesedihan yang mendalam.. Maghribku berlalu penuh kesayuan.. sejujurnya kuluahkan hatiku terasa perit.. wallahi aku tidak mampu menanggung kesedihan yang melampau.. semoga aku diberi kekuatan untuk meneruskan hari-hari yang mendatang seceria orang lain.. semoga aku dapat melemparkan seluruh kesedihan ni sejauh-jauhnya dari hidupku.. ma.. ayah.. sesungguhnya anakmu ini sedang dalam kesedihan yang teramat sangat..

Memang benar aku yang bersalah.. tapi ketahuilah.. harapanku menggunung.. harapanku sudah tidak boleh dibendung lagi.. Mungkin inilah kelemahanku.. Kesabaran..


Kini hanya satu pintaku.. lepaskanlah diri ini dari kesengsaraan.. noktahkanlah segalanya dengan tenang penuh damai.. Kembalikanlah senyumanku.. La tahzan..

Monday, February 28, 2011

TABUNG BULUHKU SAYANG..

Bismillahirrahmanirrahim..
Sewaktu kecil, aku paling suka menabung di dalam tabung buluh yang dibuat sendiri oleh abang.. untuk membeli yang sudah tersiap cantik di kedai, aku tidak mampu.. jadi,inilah inisiatif kami sebagai orang kampung yang memanfaatkan kemudahan alam semulajadi.. cewah!


Waktu itu,setiap daripada kami memiliki satu tabung buluh yang akan dilekatkan ke dinding rumah.. Oleh kerana pada waktu itu hanya kami tiga beradik yang sudah bersekolah, jadi terdapat tiga tabung buluh yang dilekatkan ke tiga penjuru yang berbeza.. tabung abang adalah yang paling besar memandangkan dia sendiri yang memilih buluh yang hendak dipotong.. dan di antara kami bertiga,abanglah yang paling banyak menabung kerana sifatnya yang sangat berjimat-cermat..


Abang kerap membawa bekal ke sekolah berbanding aku dan kakak.. apa pun dia tidak kisah asalkan ada makanan untuk dimakan pada waktu rehat.. malah, abang tidak kisah walaupun terpaksa berbekalkan nasi dengan hanya berkuahkan budu.. baginya, asalkan perutnya dapat diisi tanpa perlu mengeluarkan duit..


Pada suatu hari, ma mula merungut apabila banyak bahagian dinding yang rosak kerana dipaku untuk melekatkan tabung-tabung kami.. dengan terpaksa,aku menanggalkan tabungku dari dinding dan mencari lokasi baru untuk menyorok tabungku kerana bimbang syiling-syilingku akan diambil oleh kakak dan abang.. Bukannya apa.. sebagai langkah berjaga-jaga.. huhu..;-)


Tiba-tiba aku mendapat satu idea.. aku mula menarik hiasan kepala katilku dan cuba memuatkan tabung kesayanganku ke dalam lubang tersebut.. yes! muat.. aku tersenyum puas.. "Confirm orang lain tak jumpa ni.. hehe.." naluri keanak-anakanku bersuara nakal.. kemudian aku meneruskan aktiviti harianku seperti biasa dengan senang hati..


Petang itu entah kenapa terdetik keinginanku untuk menjenguk tabungku.. Masih selamat ke? agak-agak,orang lain tahu tak aku sorok tabung kat situ ye?Hatiku berteka-teki sendirian..


Penutup lubang yang berwarna keemasan itu kubuka dan kudekatkan mataku ke arah lubang yang gelap.. aku cuba menarik tabungku keluar menggunakan jari tetapi gagal.. "macam mana nak buat ni.." aku mula melilau-lilau di kawasan sekeliling untuk mencari seandainya ada alat yang boleh membantuku mengeluarkan tabung tersebut.. tetapi hampa..


"Dila..! kasut dah basuh belum? hari panas ni.." panggilan ma mengejutkanku.. aku melangkah malas menuju ke bilik air dengan jiwa yang sarat dengan kesedihan.. kenapalah begini nasibku.. air mataku mula menitis..


ketika sedang membasuh kasut, aku merintih sendirian.. bukan kerana mengenangkan tabung buluh yang tidak boleh dikeluarkan.. tapi kerana duit yang kusimpan di dalamnya.. baru beberapa hari yang lepas aku mengira syiling yang telah kukumpulkan.. RM2.20..jumlah yang cukup banyak bagiku pada waktu itu kerana aku hanya membawa 10 sen atau 20 sen sehari ke tadika.. fikiranku mula menerawang jauh.. aku mula membayang makanan-makanan sedap yang boleh kubeli dengan wang tersebut.. air kotak dutchlady.. biskut dalam botol.. arghh.. ruginya!


tetapi syukur pada Tuhan, tabungku berjaya dikeluarkan pada waktu malamnya dengan bantuan abang.. abang mengeluarkannya dengan menggunakan playar.. huhu.. time kasih abang..;-)



Saturday, February 26, 2011

ALAHAI MA..

Bismillahirrahmanirrahim..
Kisah ini berlaku ketika usiaku semakin menginjak dewasa.. Mungkin sudah memasuki alam persekolahan.. Masih terbayang hari itu aku memakai baju kurung.. warna apa, aku kurang pasti..
Seperti kebiasaan rumah-rumah kampung yang lain, terdapat sebuah tangga kayu yang menjadi laluan kami untuk turun ke ruangan dapur.. bagiku tangga itu agak tinggi kerana ketinggiannya lebih kurang separas kepalaku pada waktu itu..

Petang itu,mungkin nasib tidak menyebelahiku..Seperti biasa aku berjalan-jalan di dalam rumah untuk sesuatu keperluan.. Ketika sedang leka berjalan menuju ke dapur dengan pandangan yang entah ke mana, langkah kakiku yang biasanya beralas,tiba-tiba kali ini beralaskan udara.. 


Gedebuk!sekelip mata aku terjatuh ke bawah.. Aku menggosok-gosokkan pinggangku yang sakit akibat jatuh menghempap lantai dapur yang diperbuat daripada simen.. tiba-tiba aku terdengar suara ma ketawa berdekah-dekah dari arah bilik mandi sambil tangannya memegang berus sabut..Tanpa mempedulikan suara ma yang galak menyakatku, aku berpaling ke belakang.. "Aik, mana tangga???"


"Hah..!!! Patutla.. tangga tu ada ngan ma rupanya.." Sikap ma yang terlalu pembersih selalu buat aku geleng kepala.. Tangga yang kusangka setia ada di situ rupanya telah ma cabut dan dibawanya ke bilik air untuk dibasuh.. Ma memang pantang ada benda kotor sikit, pasti akan cepat-cepat dibasuh.. Termasuklah tangga yang dah dipaku kejap oleh ayah.. Patutla ma sibuk mencari tukul hari tu.. rupa-rupanya nak cabut tangga..


Adoila ma.. free-free je orang jadi superman hari ni.. huhu..;-)

Thursday, February 10, 2011

LEMAS DALAM KOLAH MASJID...

Bismillah..
Cerita bermula ketika kami(aku,abang,sepupu-sepupu,cik auh, dan kawan-kawan) bermain air di tempat mengambil wudhuk di masjid yang terletak berdekatan dengan rumah nenek.. Di situ terdapat sebuah kolah yang agak besar untuk memudahkan urusan berwudhuk seandainya paip-paip kecil yang disediakan tidak mencukupi.. 

Petang itu,seperti biasa,akan ada sahaja idea-idea baru untuk mencari keseronokan.. Dan mangsa keseronokan kami pada hari itu adalah air kolah masjid.. Kami berdiri mengelilingi kolah masjid dengan sebuah gayung di tangan masing-masing.. Bersiap sedia untuk menembak.. huhu..

Kami menembak antara satu sama lain dengan memidas orang yang diingini dengan menggunakan air dari kolah masjid dengan sekuat hati.. Setiap kali selepas menembak,kami akan cepat-cepat mengisi semula air ke dalam gayung sebagai peluru baru.. Dinding kolah kami jadikan perisai atau tempat untuk berlindung bagi mengelakkan dari terkena air simbahan.. Begitulah betapa seronoknya kami menghabiskan waktu petang kami bersama-sama..

Oleh kerana dinding kolah yang agak tinggi(lebih kurang setinggi paras dadaku pada waktu itu),aku terpaksa melompat dan bertahan di atas birai kolah tersebut untuk mencedok air.. Begitulah keadaanku setiap kali ingin mencedok air..  Hinggalah pada suatu kali,seperti biasa,aku cuba mencedok air lagi.. Ketika sedang bertahan di atas birai kolah..

"Bburrr..."

Aku ditolak dari belakang.. Siapa yang yang menolakku,aku kurang pasti..Sekelip mata, tubuhku sudah berada di dasar kolah.. Hidungku terasa panas.. Aku mula kelemasan.. 

Apa yang terlintas di kepalaku saat itu hanyalah ma dan ayah.. Namun aku begitu tidak lama..Syukur pada Tuhan, abang dan cik auh bertindak pantas dengan menyelamatkanku.. 



Saturday, February 5, 2011

Lemas di lombong...

Syukur pada Tuhan yang masih memberi peluang untukku bernafas setelah berlaku satu peristiwa yang tidak kusangka akan berlaku.. Peristiwa yang tidak dapat kulupakan sampai bila-bila..


Kejadian ini berlaku sewaktu usiaku baru mencecah 5 tahun.. Waktu itu kami adik-beradik sering menghabiskan masa bermain bersama sepupu-sepupu lelaki yang lebih kurang seusia kami.. 


Apabila musim hujan tiba,semestinya kami adalah antara manusia yang sangat gembira.. Manusia-manusia kecil yang sentiasa dahagakan keseronokan.. Dan untuk mendapat lebih keseronokan itulah kami memberanikan diri bermain air di lombong walaupun hujan turun dengan lebat mencurah.. Pada mulanya aku bersama seorang lagi temanku cuma duduk-duduk di tebing dan hanya menyaksikan abangku dan sepupu-sepupuku sedang seronok terjun dan berenang dengan pelbagai aksi yang kononnya hebat bagi mereka.. Namun setelah aku melihat seorang sepupu lelaki yang seusia denganku boleh berenang macam abang-abangnya yang lain, aku mula terfikir.. "Kalau Amin yang kecik tu boleh berenang tak tenggelam,takkan aku tak boleh.."


Tanpa berfikir panjang, aku terus terjun ke dalam air dan...


Kenapa sekeliling aku semuanya warna coklat? Mana pokok? Kenapa mata aku pedih? Kenapa kakiku tidak menjejak tanah?Satu-persatu persoalan menerjah akal kecilku.. namun tiada satu pun yang kutemui jawapan...


Aku mula tersedar.. Tetapi aku tidak mampu berfikir apa-apa lagi selain terus membiarkan tubuh kecilku tenggelam ke bawah.. Kata orang sains, 'ikut graviti bumi..' Huhu..sempat lagi..


Tiba-tiba aku berasa diriku disepak.. dan ditarik ke atas.. Rupa-rupanya bapa saudaraku yang tersepak diriku sewaktu sedang berenang melalui tempatku tenggelam.. Bapa saudaraku adalah putera tunggal dalam keluarga.. Umurnya 4 tahun lebih tua dariku dan mesra dengan panggilan 'cik auh' dalam kalangan sepupu-sepupuku.. diriku terus diangkat dan diletakkan di tebing berlumpur..


Belum pun sempat aku sedar sepenuhnya, tiba-tiba.. "Wrapp.." "Aduh.." Sebaik sahaja kubuka mata, kulihat ma sedang mencekak pinggang sambil seikat lidi tergenggam kemas di tangannya.. "Alamak..Mana aku nak lari ni.."


Kelihatan abang,kakak dan sepupu-sepupuku lari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri masing-masing.. Termasuklah aku yang paling terkebelakang berlari sekuat hati.. Walaupun badan masih lemah akibat lemas,namun yang ku fikir saat itu cumalah menyelamatkan diri dari penangan lidi penyapu ma.. Aku cuma merahsiakan peristiwa tersebut dari pengetahuan ma kerana takut dimarahi.. Hinggalah saat aku dewasa, barulah peristiwa itu kukhabarkan kepada ma.. Syukur pada Tuhan yang masih memberiku kesempatan untuk membesar dalam rahmat-Nya beserta kasih sayang ma dan ayah..





JOM ANGKUT AIR..

Peristiwa ni berlaku sewaktu aku masih kecil.. seingatku,waktu itu aku cuma setinggi pinggang ma kerana aku masih dapat membayangkan aku yang terkedek-kedek berjalan di belakang ma..Pada masa itu kami masih bergantung kepada air sungai untuk memenuhi keperluan rutin seharian.. Oleh sebab itu,setiap kali selepas mandi,ayah dan ma akan membawa naik sebaldi air dari sungai yang terletak di bawah cerun..


Petang itu, kami adik-beradik mandi di sungai dengan ditemani oleh ma.. Seperti kebiasaan, setelah selesai mandi,ma mengisi air penuh satu baldi untuk dibawa naik ke atas rumah.. Ma juga turut mengisi air ke dalam tiga tong kecil untuk dibawa oleh abang, kakak dan aku sendiri,si kecil yang tak tidak pernah mahu ketinggalan daripada abang dan kakak..


Oleh kerana aku yang paling kecil, akulah yang berjalan paling depan antara kami adik-beradik.. Ma pula berjalan di hadapanku membawa air penuh satu baldi.. untuk sampai ke rumah, kami terpaksa melalui cerun yang agak curam namun telak dibuat beberapa takuk oleh ayah sebagai tangga..


Baru beberapa takuk pendakian, aku sudah mula termengah-mengah.. tong air yang kubawa terasa begitu berat.. tong tersebut kuletakkan ke tanah.. "Huh,beratnye.." kedengaran bunyi bising abang dan kakak di belakangku yang merungut-rungut supaya aku meneruskan perjalanan.."Wei,cepatla..berat ni.."


Tanpa menghiraukan rungutan mereka,aku memanggil ma.."Ma..beratla..nak buang air ni sikit boleh?"..
Ma berpaling padaku dan menganggukkan kepalanya.. Ma mencurahkan suku daripada kandungan tong tersebut lalu berkata lembut, "Ha,dah tak berat dah."..Aku tersenyum senang dan meneruskan perjalanan..


Baru separuh jalan,aku mula kepenatan.."Ma..Berat.." aduku pada ma sambil meletakkan kembali tong yang kubawa..Kulihat tanganku sudah mula kemerah-merahan.. Ma terpaksa menghentikan langkahnya.. air di dalam tong dicurahkan ke tanah lalu mengalir menuruni curam..melalui kakiku.. Kedengaran abang dan kakak ketawa terkekek-kekek..Mungkin kerana air yang dicurahkan mengalir turut melalui kaki mereka, desis hatiku..


Begitulah kami seterusnya..Berhenti dan berhenti beberapa kali gara-gara aku.. Hinggalah tong yang kubawa menjadi kosong! Begitulah aku..Ma,abang dan kakak cuma menggelengkan kepala sambil berkata,"tu la..orang cakap tak payah bawak,nak bawak jugak.." sambung abang, "Ingat dia tu gagah sangat.."


Sesampainya kami di rumah,ma mencurahkan air yang dibawa ke dalam sebuah tong dram yang besar.. Kami adik-beradik berkerumun di tepi tong besar untuk melihat paras air.. Sudah sampai paras mana.. Bila nak penuh.. itulah topik yang selalu kami utarakan tiap kali ma mengisi air ke dalam tong tersebut..


Air di dalam tong yang dibawa oleh kakak dan abang juga turut dicurahkan ke dalam tong dram.. Kcuali aku..;-)

Thursday, January 27, 2011

BAJU BARU...

Sewaktu berusia 4 tahun, ayah membawa ma dan kami adik-beradik ke sebuah perkampungan orang asli yang terletak berhampiran dengan Gua Musang. Kawasan itu agak terpencil dan terletak agak jauh di dalam hutan. Perjalanan yang jauh dan keadaan jalan yang buruk membuatkan aku tidak selesa di sepanjang perjalanan. Seperti biasa, aku akan berada di atas riba ibuku dan kakak serta abangku pula berada di belakang. Oh ya, waktu itu kami pergi dengan menaiki sebuah lori yang mungkin disewa oleh ayah. Tapi seingatku,yang memandu di sebelahku waktu itu bukanlah ayah, tetapi orang lain. Barangkali kawan ayah,bisik hati kecilku.


Keadaan jalan yang dipenuhi batu-batuan kerap membuatku seolah dilambung-lambung. Pak cik yang sedang memandu kerap kali mengusikku,mungkin sekadar untuk mengambil hatiku agar tidak bosan atau merengek. Sesampainya di sana, aku terus melompat turun. Teruja dengan persekitaran yang agak baru bagi kami, aku,kakak dan abang meninjau-ninjau keadaan sekeliling. Hanya terdapat sebuah rumah kecil sahaja di situ, seakan-akan sebuah pondok namun separuh daripadanya dijadikan sebagai kedai runcit. Barangnya tidaklah banyak seperti yang terdapat di kedai-kedai runcit yang lain, namun mungkin cukup untuk menampung keperluan hidup orang asli yang mengalami kesukaran untuk keluar ke bandar.


Apabila tiba waktu maghrib, ma menyuruh kami bertiga mandi kerana hari sudah hampir malam. Kakak dan abang kelihatan berlumba-lumba menanggalkan pakaian masing-masing dan bergegas untuk mandi. Cuma tinggal aku yang serba salah. Sebenarnya hari itu aku memakai baju baru. Baju merah berbunga-bunga yang ma beli dari seorang penjaja. Aku sayang untuk menanggalkan baju tersebut dan meminta untuk tidak mandi malam itu.Maklumlah,waktu itu aku jarang akan mendapat baju baru memandangkan kehidupan kami pada masa itu yang serba kekurangan. Kemudian aku melihat ma yang sedang melipat kain dan ayah yang sedang menggulung rokok daunnya itu ketawa terbahak-bahak. Dengan perasaan hairan,aku mengangkat kening. Rupa-rupanya ayah dan ma dapat mengagak sebab aku tidak mahu mandi pada malam itu. Dengan tawa yang masih bersisa, ma menyuruh aku mandi dan kembali memakai baju yang sama. Aku kembali tersenyum dan segera berlari ke arah kakak dan abangku yang sedang riuh-rendah bermain air di telaga.